Sunday, July 31, 2011

Demi Cinta [cerpen]

. “Assalamualaikum dik. Nak air apa?” Sapa abang penjual air batu itu ramah. Senyumannya manis.
“Air tembikai dua” Jawab Doris.
“Eh! Aku tak haus” Fernaiza segera menjawab.
“Apa salahnya adik. Adik pun tentu dahaga. Kan panas ni. Muka adik pun dah merah macam air tembikai ni” Abang penjual air batu itu tersengih memandang Fernaiza yang serba salah.
“Tak per..aku belanja kau hari ini” Doris menyambung.
“Hari ini abang belanja kamu berdua sebab hari pertama abang berniaga” Doris dan Fernaiza berpandangan sesama sendiri. Tidak sangka akan dapat air minum percuma. Akhirnya mereka tertawa. Azriff turut ketawa. Tapi matanya tak lepas memandang wajah Fernaiza yang begitu sempurna di matanya. Ketika di lapangan terbang dulu, dia hanya dapat memerhati dari jauh sahaja dan peluang yang terbuka di depan mata kali ini tidak dilepaskan begitu sahaja.
“Terima kasih, bang” Fernaiza tersenyum sambil meletakkan gelas yang sudah kosong.
“Siapa nama adik berdua ni?” Soal Azriff.
“Saya Fern dan ini Doris,” Fernaiza memperkenalkan. Tidak lagi berdiam diri seperti mula-mula tadi. Keramahan abang penjual air batu itu mengembalikan keceriaannya.
” Nama abang, Azriff!” Azriff memperkenalkan dirinya. Setelah itu, matanya menyoroti langkah Fernaiza dan Doris sehingga kelibat mereka berdua hilang dari pandangannya.
Dialah gadisku! Desis hati kecil Azriff.
Hari demi hari, perhubungannya dengan Fernaiza dan juga Doris semakin akrab. Saban hari, pasti Fernaiza dan Doris singgah berbual ke warung kecilnya setelah selesai kelas tambahan untuk peperiksaan SPM. Dia semakin dapat mengenali Fernaiza. Gadis itu matang dalam setiap percakapannya. Dia juga punya bakat dalam bidang penulisan.
“Fern minat menulis?” Selidik Azriff pada suatu hari. Ketika itu hanya dia dan Fernaiza. Doris entah ke mana perginya.
“Emmm..”Jawab Fernaiza ringkas.
“Kenapa minat menulis?” Soal Azriff lagi.
“Setiap apa yang kita inginkan dan kita rasa, tak semuanya boleh diceritakan dengan orang lain. Mungkin ada yang akan ketawa, tak kurang juga mengeji apabila mendengarkan impian kita. So, bagi Fern, menulis adalah satu cara bagi diri Fern untuk menggambarkan apa yang kita impikan, apa yang kita rasa. Kita berhak menulis apa-apa yang kita rasa nak tulis. Walaupun kadangkala sesuatu impian itu tidak munasabah, orang tak boleh nak cakap apa kerana itu hanya suatu cerita” Fernaiza menerangkan.
“Tapi, tak semua orang akan faham apa yang Fern impikan,” Tukas Azriff.
” Fern tak minta mereka faham. Cuma orang yang ingin mengenali Fern dapat memahami Fern melalui penulisan Fern. Itu saja.”
” Ohh..jadi abang perlu bacalah cerita-cerita Fern ye? ” Azriff menjungkit keningnya.  Fernaiza membalas senyuman Azriff.
“Sekadar mengisi masa senang, boleh saja,” Fernaiza ketawa kecil.
“Bukan itu saja, abang nak kenal Fern dan kalau boleh memahami Fern,” Serius kata-kata Azriff. Dia mahu Fernaiza faham kata-katanya.
“Terpulang..” Fernaiza menjawab malas. Azriff mengeluh hampa. Fahamilah gadisku! Hati kecil Azriff menjerit.
————————-
“Abang Azriff!” Jerit satu suara.
Azriff yang sedang mengemaskan bahan-bahan jualannya menoleh. Dia agak terkejut dengan suara itu kerana terlalu asyik dengan kerjanya.
“Oh Fern! Terkejut abang. Apa halnya?” Soal Azriff memandang Fernaiza yang tercungap-cungap. Dia masih menanti.
“Abang temankan Fern pergi cyber cafe ye..” Pinta Fernaiza. Wajahnya kala itu bisa mengundang simpati sesiapa sahaja. Taktiklah tu!
“Komputer rumah Fern kenapa?” Selalunya Fernaiza akan menggunakan komputer di rumahnya saja, fikir Azriff.
“Ayah hantar servis. Fern nak check email. Nanti dah tak free lagi. Busy. Boleh ye abang?” Azriff tersenyum lagi. Dia menggelengkan kepalanya. Tidak sampai hati menolak. Lagipun dia sentiasa menginginkan waktu untuk bersama-sama gadis itu. Inilah masanya.
“Oklah..tapi tunggu abang kemaskan barang-barang ni dulu,” Fernaiza tersengih sambil mengeyitkan mata kanannya.
Sampai di CC, Fernaiza terlebih dahulu mendapatkan tempat duduk. Azriff masih lagi tercari-cari ruang tetapi hampa. CC tersebut penuh. Dia hanya berdiri sambil menunggu kalau-kalau ada pengguna yang ingin keluar. Sambil itu dia menghalakan pandangannya tepat kepada skrin komputer yang digunakan oleh Fernaiza. Terlalu khusyuk Fernaiza membuka emailnya, tidak sedar Azriff telah pun menghafal alamat emailnya. Azriff tersenyum. Langkah ke-3 sudah diprogramkan dalam fikirannya.
——————————-
Hari itu Azriff tidak berniaga. Esok dia akan kembali semula ke Manchester untuk sesi kuliah seterusnya. Dia hanya menanti kepulangan Fernaiza di bawah pohon yang menjadi tempatnya menjual air sebelum itu. Dari jauh dia dapat melihat Fernaiza berjalan beriringan dengan Doris. Akrab sungguh mereka berdua itu. Azriff juga suka dengan sikap Doris yang ceria dan sentiasa tersenyum.
“Eh! Abang tak berniaga ke hari ini? Smart pulak tu..nak ke mana ni? Fernaiza tersenyum penuh makna. Doris pun begitu.
“Tak..mungkin abang tak jual air batu lagi. Abang perlu menyelesaikan semua urusan kerja abang.” Azriff tidak tahu samada pembohongannya suatu tindakan yang betul atau tidak.
“Abang nak kerja?’ Soal Doris pula. Azriff hanya mengangguk. Wajah kedua-dua gadis itu tidak lagi seceria tadi.
“Di mana?”
“Entahlah, abang tak tahu lagi. Nanti kalau abang dapat kerja, abang beritahulah kamu berdua ye,” Azriff cuba tersenyum walaupun dia gelisah melihat wajah murung Fernaiza. Bicaralah walau sepatah wahai gadisku! Hati kecil Azriff merintih. Dia tidak sanggup melihat wajah Fernaiza tika itu.
“Hey adik abang sorang ni..Janganlah muncung macam nie. Abang akan ingat kamu berdua lagi. Kamu berdua berjanji akan hadapi SPM dengan baik ye. Abang mahu kamu berdua berjaya dengan cemerlang. Abang akan datang jumpa kamu lagi kalau kamu berjaya.” Azriff menabur janji. Apa pun aku akan tetap kembali kepada gadisku.
“Abang promise ye? ” Fernaiza mula bersuara. Di wajahnya tergambar harapan agar pemuda yang sudah dianggap sebagai abangnya sendiri masih menghubunginya. Azriff tersenyum lega.
“InsyaAllah kalau tak ada aral” Janji Azriff.
—————————————-
Sejak akhir-akhir ini, Fernaiza semakin asyik dengan komputernya. Tambahan pula SPM telah selesai. Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan. Ayahnya menegah Fernaiza daripada bekerja kerana bimbang dirinya lupa diri apabila sudah memegang duit sendiri. Fernaiza banyak menghabiskan masa di rumah dengan menyiapkan novel serta cerpen-cerpen yang tertangguh semasa peperiksaan SPM dulu. Selebihnya masa banyak dihabiskan dengan membuka emailnya. Ada sesuatu yang menggesanya supaya membuka emailnya setiap hari.
Sebelum dia menduduki peperiksaan SPM dulu, dia ada menerima kiriman email  dari seseorang yang hanya dikenali sebagai AMZI. Fernaiza sendiri tidak mengenali empunya nama itu. Menurut email tersebut menyatakan dia mendapat email Fernaiza semasa berchatting. Entahlah! Fernaiza sendiri tidak pasti.  Memang kadangkala dia ada memberi alamat emailnya kepada teman-teman sibernya. Itu lebih baik dari memberi nombor telefon. Pada mulanya Fernaiza malas hendak melayan email AMZI tetapi timbul perasaan belas apabila dia mendapati saban hari lelaki itu memintanya menyimpul tali persahabatan. Lelaki itu banyak mengajarnya berfikir akan sesuatu perkara yang terjadi dalam diri setiap manusia. Fernaiza juga senang meluahkan rasa dan pendapatnya kerana dia tidak perlu berhadapan dengan lelaki itu. Entahlah!! Dalam tempoh beberapa bulan itu, dia mula merasakan keistimewaan pada lelaki maya itu. Dia sendiri bingung dengan prinsipnya agar tidak mempercayai teman-teman siber kerana pelbagai perkara telah didengarnya mengenai teman tanpa wajah dan suara itu.
Walaupun Azriff jauh, hubungannya dengan Fernaiza masih lagi berjalan dengan baik. Azriff seringkali menghubunginya. Fernaiza suka melayan panggilan lelaki itu. Ada sahaja benda yang meletus tawa Fernaiza. Fernaiza tidak dapat menafikan rasa suka terhadap lelaki itu tetapi sebagai perempuan, masakan dia rela menjatuhkan maruahnya dengan mengakui perasaan itu kepada Abang Azriff. Tetapi dengan AMZI juga dia turut dibuai perasaannya sendiri. Tapi dia tidak menghiraukan kerana hakikat sebenarnya tentang AMZI masih kabur.
——————-
Azriff memandang Fernaiza yang kelihatan begitu ceria. Dari tadi banyak soalan ditanya pada Azriff. Azriff hanya tersenyum sambil memikirkan situasi seterusnya. Dia berusaha mengumpul kekuatan untuk merungkaikan rahsia yang tersimpan. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk melepaskan kerinduannya pada wajah itu. Terbit juga perasaan bimbang menanti reaksi Fernaiza apabila perkara sebenar disingkap.
“Adik,” Panggil Azriff lembut. Fernaiza sedikit terkejut mendengar panggilan itu. Kemudian dia menyimpul senyum.
“Kenapa dengan Abang Azriff ni?”
“Boleh abang tanya sesuatu?” Fernaiza mengangguk.
“Adik ada parut dekat lutut, kan?” Fernaiza mengerutkan keningnya. Bagaimana lelaki ini tahu? Dia mengiakan juga pertanyaan lelaki itu walau di hatinya terbetik rasa keraguan.
“Adik ingat lagi macam mana Adik dapat parut tu?” Soal Azriff lagi. Fernaiza cuba mengingat kembali. Serasanya kejadian beberapa tahun lalu masih ada dalam memorinya. Dia mengangguk lagi. Tapi dia masih bingung.
“Adik ingat lagi Abang Azriff?” Azriff tersenyum sinis. Air muka Fernaiza berubah.
“Hah?” Fernaiza terlopong. Jari telunjuknya ditujukan ke muka Azriff.
“Ye..abanglah Abang Azriff!” Azriff mematikan kekeliruan Fernaiza.
“Macam tak percaya aje” Kata Fernaiza. Dia masih lagi dalam situasi terkejut. Hampir lebih 10 tahun, kini dia berjumpa kembali dengan Azriff yang dulunya dipanggil Abang Ajiff.
“Ingat Adik ajer tak percaya. Abang pun tak caya bila dengar Adik cakap dah tak pelat macam dulu lagi..”Azriff mengusik.
“Ala..abang ni. Fern kan dah besar. Mana ada pelat lagi. Jangan panggil Adik lagi,” Fernaiza melarikan pandangannya daripada direnung oleh Azriff yang seakan degil untuk melarikan pandangan dari wajahnya. Suasana sepi seketika. Azriff kembali gelisah untuk meluahkan kebenaran seterusnya.
“Adik..” Fernaiza mengangkat wajahnya. Dipandang tepat wajah Azriff.
“Ada sesuatu yang abang nak cakap pada Adik, ” Azriff lambat-lambat menuturkan kata-katanya.
“Apa dia?”
“Adik kenal siapa AMZI?” Soal Azriff. Fernaiza sekali lagi tersentak dengan persoalan yang disampaikan oleh Azriff. Bagaimana lelaki ini mempunyai kesinambungan dengan kisah dalam hidupnya. Fernaiza menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia betul-betul tidak mampu untuk bersuara ketika itu. Azriff menarik nafasnya dalam-dalam, cuba mencari keyakinan meluahkan bicaranya.
“AMZI. Azriff Mazairi Za Idris,” Tukas Azriff.
Fernaiza melepaskan keluhan. Dalam beberapa detik ini, banyak kejutan yang didengarnya. Tak disangkanya AMZI adalah Abang Azriff. Anak Tuan Za Idris yang pernah menjadi penghuni Kg Setulang lama dahulu.
“Sepertimana AMZI dan Azriff Mazairi Za Idris adalah insan yang sama, mustahil untuk seorang insan yang sama mempunyai perasaan yang berbeza-beza. Adik faham, kan?” Terpancar keikhlasan dalam tutur bicara Azriff. Fernaiza terkesima. Mustahil! Desis hati kecil Fernaiza.
“Fern tak tahu..”Luah Fernaiza lemah. Dia masih lagi bingung.
“Abang tak minta jawapan sekarang. Abang tahu, Adik marah pada Abang. Tapi Adik harus tahu yang orang bercinta dengan keikhlasan sanggup buat apa saja demi cintanya. Ambillah selama mana masa yang Adik mahu, kerana abang juga mengambil masa yang lama untuk membajai cinta ini, ” Fernaiza bungkam. Cuma matanya saja menghantar langkah Azriff yang meninggalkannya dengan satu persoalan yang memerlukan jawapan.
————————-
Selepas peristiwa beberapa minggu lalu di mana segala rahsia kehidupan dan perasaan telah terungkap, hari ini dia harus berdepan dengan lelaki itu semula demi sebuah jawapan yang dituntut oleh lelaki itu. Namun, Fernaiza masih tiada jawapan yang pasti. Fernaiza memandang cermin setinggi tubuhnya. Tubuhnya tersarung kemeja kotak-kotak dan jeans hitam seperti kebiasaannya. Dia mengenakan tudung berwarna biru muda. Dia melihat air mukanya dalam cermin. Dia sendiri tidak tahu bagaimana wajahnya tika itu. Selepas membetulkan lipatan tudungnya, dia mengangkat tudung untuk diselempangkan ke atas bahu. Dia mula melipat lengan bajunya. Tiba-tiba dia terhenti daripada melipat lengan bajunya. Dia menjatuhkan tudungnya ke depan. Lengan bajunya dibuka semula. Dia melihat ke dalam cermin.
Tak ada cacat celanya kalau aku seperti ini. Cantik juga! Bisik hati kecil Fernaiza. Dia tersenyum dan cepat tersedar. Dia kembali melipat lengan bajunya dan tudungnya diselempangkan. Dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Apa kena dengan aku ni?
“Abang cintakan Adik!” Fernaiza terkesima mendengar kalimah pertama yang diucapkan oleh Azriff dalam pertemuan mereka petang itu.
“Tapi Adik tidak layak untuk abang. Adik tak boleh jadi sempurna seperti impian cinta Abang” Fernaiza menunduk. Tak sanggup menentang pancaran sinar mata Azriff. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia membahasakan dirinya dengan ‘Adik’
“Tidak..kalau Adik memberi peluang kepada Abang, Abang akan cuba menjadi lelaki setia seperti Shah Jehan atau Romeo atau romantik seperti…Aznal Azlan..” Luah Azriff lagi. Fernaiza sedikit terkejut mendengar kata-kata itu. Kata-kata itu adalah kata-katanya. Tapi bila difikirkan balik, tak ada peliknya. Lelaki ini seperti mengetahui segala-gala tentang dirinya.
“Abang kenal ke siapa Aznal Azlan?” Duga Fernaiza.
“Adik pernah kata untuk memahami Adik abang perlu baca cerita-cerita Adik. Jadi untuk menjadi lelaki romantik idaman Adik, Abang dah jadi peminat nombor satu cerpen Adik. Tapi nanti, Adik akan jumpa yang lebih romantik daripada Aznal Azlan tau…” Azriff tersenyum lawa.
“Adik juga cintakan Abang Ajiff! ” Fernaiza melahirkan pengakuan kecintaannya dalam nada pelat. Azriff tertawa riang. Fernaiza juga turut sama dalam kegembiraan lelaki itu kerana mereka kini telah berkongsi sesuatu iaitu CINTA.

No comments:

Post a Comment